Friday, May 25, 2012

Lawatan sambil belajar ke SINGAPURA

Assalamualaikum wbr

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas nikmatnya yang masih berterusan untuk kita. Sekolah Menengah Tahfiz Teknologi 3i masih lagi beroperasi seperti biasa dengan bilangan pelajar setakat ini seramai 22 orang. Kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan dana untuk pengajian anak-anak di sekolah ini. Terdapat di kalangan mereka daripada keluarga susah dan kurang berkemampuan dan kami mengharapkan sumbangan daripada mana-mana pihak yang sudi untuk menyara pengajian mereka sepanjang mereka di sini.

Alhamdulillah, baru-baru ini pada 18 Mei 2012, pihak SMTT3i telah mengaturkan satu lawatan sambil belajar untuk 9 orang pelajar dan seorang anak salah seorang kakitangan ke Singapura. Bertolak daripada SMTT3i Cheras pada jam 12.30 pagi mereka diiringi oleh 3 orang kakitangan sekolah. Mereka berhenti untuk Qiamullail, bersiap dan solat subuh di sebuah surau di Bandar Johor Bahru sekitar jam 5.00 pagi. Setelah selesai solat subuh, mereka terus bergerak ke Woodland untuk menyeberangi Tambak Johor seterusnya ke Bandar Singapura. 

Setelah menempuhi kesesakan lalulintas kerana bertembung dengan masa orang awam keluar bekerja dari Johor ke Singapura dan dari Singapura ke Johor akhirnya mereka sampai ke destinasi pertama iaitu Masjid Sultan. Ia dikenali sebagai salah satu masjid tertua di Singapura. Mereka sampai di sana sekitar jam 9.00 pagi, setelah menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dhuha, mereka diberikan sarapan yang telah dibekalkan oleh kakitangan. 

Pada jam 10.00 pagi mereka dibawa keluar ke kedai cenderamata yang berhadapan dengan Masjid Sultan untuk membeli sedikit cenderamata untuk ahli keluarga. Sekitar jam 10.30 pagi mereka bertolak ke destinasi seterusnya iaitu Badan Agama Radin Mas (BAPA). Ketibaan mereka pada jam 10.45 pagi disambut dengan meriah oleh kakitangan BAPA. BAPA adalah sebuah NGO Islam di Singapura yang menjalankan Sekolah Agama, Tahfiz dan Pendidikan Agama untuk orang kurang upaya. Cadangan awal daripada SMTT3i adalah untuk melawat Sekolah Tahfiz BAPA, akan tetapi para pelajar mereka sedang menduduki peperiksaan, jadi cadangan tersebut terpaksa dibatalkan buat lawatan kali ini. InsyaAllah, ada peluang lawatan seterusnya akan diberikan ruang untuk melawat Tahfiz tersebut. 

Selepas sesi taaruf, mereka diberikan taklimat oleh wakil BAPA mengenai latarbelakang dan aktiviti BAPA. Selepas sesi taklimat, mereka bertukar-tukar pandangan dan sesi soal jawab untuk lebih mengenali antara satu sama lain. 

SMTT3i yang diwakili oleh Ustaz Abd Latiff bin Abdul Haliff telah memberikan sedikit penerangan tentang keadaan SMTT3i serta sistem pendidikan yang telah dijalankan. Alhamdulillah, banyak pandangan, idea dan ilmu yang mereka dapat hasil daripada sesi perkongsian tersebut. Mereka kemudiannya dihidangankan makan tengahari yang menarik, iaitu nasi beriyani ayam resipi original dari Singapura. Selain itu, mereka juga diberikan kuih karipap yang terkenal di Singapura. Layanan yang diberikan oleh kakitangan BAPA sangat baik. 

Selesai makan, mereka semua bergerak untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid yang terletak berhadapan dengan pejabat operasi BAPA. Selesai solat, mereka mengadakan sedikit sesi bergambar dan pertukaran cenderamata. Pihak SMTT3i mengalu-alukan sekiranya pihak BAPA berminat untuk melawat SMTT3i di Cheras, Kuala Lumpur. 

Sekitar jam 2.30 petang. Mereka bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Haji Muhammad Salleh dan Makam Habib Noh, antara masjid tertua juga di Singapura. Habib Noh adalah salah seorang ulama terkemuka di Singapura daripada Yaman. Setelah melakukan solat sunat tahiyatul masjid, mereka bergerak ke Esplaned dan Merlion Park untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. 

Sekitar jam 4.30 petang, mereka singgah solat asar di Masjid Annur di Woodland. Selesai urusan di Imegresan Singapura dan di Johor, mereka terus bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Sampai di SMTT3i sekitar jam 10.30 malam. Pihak SMTT3i mengharapkan para pelajar dapat mengambil pengajaran daripada perjalanan ini dan menambah ilmu serta pengalaman mereka. 

Di bawah ini ada disertakan sedikit gambar ketika melawat BAPA. 











Thursday, April 19, 2012

Menghantar Pelajar ke Surabaya (1)

Assalamualaikum wbr.

Bismillah walhamdulillah, dengan nikmat dan rahmat Allah yang dilimpahkan keatas kita. Pada 13 April baru-baru ini seramai 24 orang telah termasuk 2 orang pelajar yang akan menyambung pelajar di Pesantren Langitan telah selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.

Suka saya berkongsi sedikit coretan, kenangan manis perjalanan kami menziarahi beberapa makam Wali Songo di sekitar Jawa Timur. Songo bermaksud Sembilan dalam bahasa Jawa. Iaitu, Sunan Ampel, Giri, Drajat, Kalijaga, Malik Ibrahim, Bonang, Kudus,Gunung Jati dan Muria. Kebanyakan mereka berketurunan dari Tanah Arab.

Bertolak menaiki kapal terbang air asia pada jam 6.10 petang dan mendarat di Surabaya pada jam 8.45malam waktu tempatan. Kami disambut dengan mesra oleh salah seorang ahli keluarga Ustazah Wan Samsiah yang telah belajar di sana selama 2 tahun bersama seorang rakannya(Fitri & Ikram). Selesai mengerjakan solat jama' ta'khir di lapangan terbang, kami terus dibawa menaiki bas ke Hotel yang berhampiran dengan Makam Sunan Ampel. 

Perjalanan sekitar 1 jam menyebabkan peserta semua keletihan dan lena di dalam bas. Sesampai di Hotel, pembahagian bilik terus dilakukan oleh urusetia 3i Marhalah Travel Sdn.bhd. Selepas itu, mereka dijemput untuk makan di cafe hotel tersebut. Menu yang menarik, masakan yang unik dan enak.

Perancangan untuk menziarahi makam Sunan Ampel yang berhampiran, sekitar 200meter pada malam itu ditunda pada pagi esoknya, 14April kerana semua peserta kepenatan. Namun, ada beberapa peserta yang berminat untuk pergi juga pada malam itu.

14 April 2012

Subuh masuk pada jam 4.00pagi, selepas sarapan enak yang disediakan hotel, iaitu mihun sup dan nasi lemak. Kami bergerak sekitar jam 7 pagi ke makam Sunan Ampel. Melawat beberapa lagi makam ulama' besar yang berdekatan iaitu Mbah Bonang dan Mbah Soleh.Kami sempat mengambil beberapa gambar kenangan di makam Sunan Ampel dan sekitarnya.Sedikit mengenai Sunan Ampel, diceritakan beliau adalah ketua dikalangan WaliSongo dan antara yang paling tua. Mereka ini kebanyakan mempunyai talian saudara sesama mereka. Sunan Ampel diberikan beberapa karamah dan kelebihan.

Sekitar jam 8.30pagi kami bergerak ke Pesantren Langitan. Pada jam 10.30 pagi, sempat kami singgah di Makam Sunan Giri yang terletak di puncak Bukit Giri. Bas mini tidak dibenarkan naik ke kaki bukit, jadi kami diberi peluang untuk menaiki kereta kuda. Satu kereta boleh dinaiki sehingga 4 orang dan bayarannya sebanyak 20ribu rupiah.Memang satu pengalaman yang menarik.Ada juga peserta yang merasai menaiki motor yang berharga 5ribu rupiah utk satu hala.

Di bawah ini ada sedikit gambar keadaan di sana. InsyaAllah akan disambung lagi coretan ini pada masa akan datang.

 
 
 Menaiki Kereta kuda untuk ke Sunan Giri


 Makam Mbah Soleh yang berhampiran Sunan Ampel. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar di makam Sunan Ampel

 Bazar di Makam Sunan Ampel


Wednesday, April 11, 2012

Gotong Royong

Assalamualaikum wbr

Alhamdulilah. Hari ini adalah hari cuti umum bagi di Kuala Lumpur, sempena hari pertabalan agung. Pihak Kumpulan wanita Surau Al-Amin mengambil kesempatan cuti ini bagi membuat gotong-royong bersama-sama dengan pelajar SMTT3i. 

Bermula jam 8.30 pagi tadi, mereka sama-sama membersihkan keseluruhan kawasan surau. Alhamdulilah, berkat kerjasama semua, aktiviti ini berjalan lancar dan para pelajar semua kelihatan gembira apabila mereka dapat melakukan kerja gotong royong bersama-sama dengan warga Bandar Tun Razak. 

Pelbagai makanan dan minuman yang disediakan sempena gotong royong ini. Aktiviti ini habis sekitar jam 12 tengahari. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan gotong royong ini.

Tuesday, April 10, 2012

Perkhidmatan sewaan Van



Assalamualaikum wbr

Alhamdulillah. Sentiasalah kita menjadi hamba yang bersyukur dengan sentiasa beribadah kepadaNya dalam bentuk ibadah umum mahupun khusus. Apa yang penting hendaklah ia sentiasa istiqamah.

SMTT3i dalam usaha membantu menyediakan platform untuk mentarbiyah anak-anak bakal generasi Al-Quran, sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak utk sama-sama mengambil bahagian dalam menambahkan bekalan akhirat kita InsyaAllah.

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah juga cuba menawarkan beberapa perkhidmatan untuk menambah dana bagi menampung perbelanjaan sekolah. Antara perkhidmatan yang kami tawarkan ialah sewaan van.

Jenis van: URVAN NISSAN
- 14 seat termasuk pemandu
No.Plat: WVN 6424
Kadar sewaan sehari: RM 250
Van disewa tanpa pemandu.



Jika berminat, boleh lah hubungi pihak sekolah.
Pejabat: 03-40106744
Tn.Hj. Mohamed: 016-2965723

Mohon disebarkan. Moga usaha kita yang sedikit ini akan diterima oleh Allah. InsyaAllah.
Terima kasih

Tuesday, April 3, 2012

Sumbangan untuk pelajar ke Surabaya

Assalamualaikum wbr

Alhamdulillah, lafaz yang patut kita lazimi dibibir kita dek kerana nikmat Allah Ar-Razzaq, Al-Wahhab yang tidak pernah lekang dalam kehidupan seharian kita. 

Alhamdulillah, InsyaAllah 2 orang pelajar yang akan dihantar melanjutkan pelajaran ke Pondok Pesantren Langitan di Widang Tuban Jawa Timur, Indonesia akan menerima sumbangan mereka daripada salah seorang individu yang dermawan pada khamis malam jumaat ini, iaitu pada 5 April 2012. 

Majlis penyerahan sumbangan itu akan diadakan selepas waktu Isyak. 

Semoga Allah akan membalas segala jasa mereka yang dermawan untuk membantu anak-anak ini melanjutkan pengajian dalam bidang agama. 


Thursday, March 29, 2012

Tawaran pekerjaan SMTTT3i

Assalamualaikum wbr.

Dengan sukacitanya dimaklumkan Sekolah Menengah Tahfiz Teknologi 3i menawarkan pekerjaan sebagai guru hafazan merangkap warden kepada mereka yang berminat dan layak.

Berikut adalah sedikit maklumat mengenai jawatan yang di tawarkan.

Hanya  lelaki sahaja
Berumur 20 tahun ke atas
Mempunyai sijil kelayakan hafazan
Mempunyai penampilan yang kemas
Berdedikasi dan bertanggungjawab

Mereka yang berminat boleh lah menghantarkan resume kepada email sekolah seperti berikut:
smtt3i.kl@gmail.com

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Tn.Hj. Mohamed: 016-2953756
Cikgu Laili: 013-7012058

MELUASKAN JARINGAN

Assalamualaikum wbr

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepada Allah Al-Kabiir, Al-Mutakabbir, Al-'Aliy kerana telah memberi peluang kepada SMTT3i untuk terus berkhidmat kepada masyarakat. Setakat ini pembelajaran para pelajar berjalan lancar seperti biasa InsyaAllah.

Baru-baru ini pada 3 mac yang lalu, SMTT3i telah berjaya menganjurkan satu majlis makan amal untuk tujuan mengumpul dana bagi menampung kos operasi perjalanan sekolah ini. Alhamdulillah sambutan begitu menggalakkan dan majlis berjalan lancar. Terdapat gerai2 sampingan dibuka seperti gerai menjual CD dan buku-buku agama, pakaian, keropok dan kuih, tahfz Shoppe dan promosi pakej pelancongan oleh 3i Marhalah Travel Sdn.Bhd. 

Majlis tamat sekitar jam 3petang dan hampir 500 penyertaan yang diterima. Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan kalian semua.

Kemudian, InsyaAllah pada 13April ini 2 orang pelajar daripada SMTT3i akan dihantar melanjutkan pengajian mereka ke Pesantren Langitan di Widang Tuban Jawa Timur, Indonesia. Mereka akan di taja yuran pengajian oleh individu dermawan yang sudi menaja mereka. Alhamdulillah. 

InsyaAllah selepas ini akan disusuli lagi program lanjutan pengajian pelajar dari sini ke merata-rata pusat pengajian ternama. Semoga Allah meredhai segala usaha kecil kita ini.