Thursday, April 19, 2012

Menghantar Pelajar ke Surabaya (1)

Assalamualaikum wbr.

Bismillah walhamdulillah, dengan nikmat dan rahmat Allah yang dilimpahkan keatas kita. Pada 13 April baru-baru ini seramai 24 orang telah termasuk 2 orang pelajar yang akan menyambung pelajar di Pesantren Langitan telah selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.

Suka saya berkongsi sedikit coretan, kenangan manis perjalanan kami menziarahi beberapa makam Wali Songo di sekitar Jawa Timur. Songo bermaksud Sembilan dalam bahasa Jawa. Iaitu, Sunan Ampel, Giri, Drajat, Kalijaga, Malik Ibrahim, Bonang, Kudus,Gunung Jati dan Muria. Kebanyakan mereka berketurunan dari Tanah Arab.

Bertolak menaiki kapal terbang air asia pada jam 6.10 petang dan mendarat di Surabaya pada jam 8.45malam waktu tempatan. Kami disambut dengan mesra oleh salah seorang ahli keluarga Ustazah Wan Samsiah yang telah belajar di sana selama 2 tahun bersama seorang rakannya(Fitri & Ikram). Selesai mengerjakan solat jama' ta'khir di lapangan terbang, kami terus dibawa menaiki bas ke Hotel yang berhampiran dengan Makam Sunan Ampel. 

Perjalanan sekitar 1 jam menyebabkan peserta semua keletihan dan lena di dalam bas. Sesampai di Hotel, pembahagian bilik terus dilakukan oleh urusetia 3i Marhalah Travel Sdn.bhd. Selepas itu, mereka dijemput untuk makan di cafe hotel tersebut. Menu yang menarik, masakan yang unik dan enak.

Perancangan untuk menziarahi makam Sunan Ampel yang berhampiran, sekitar 200meter pada malam itu ditunda pada pagi esoknya, 14April kerana semua peserta kepenatan. Namun, ada beberapa peserta yang berminat untuk pergi juga pada malam itu.

14 April 2012

Subuh masuk pada jam 4.00pagi, selepas sarapan enak yang disediakan hotel, iaitu mihun sup dan nasi lemak. Kami bergerak sekitar jam 7 pagi ke makam Sunan Ampel. Melawat beberapa lagi makam ulama' besar yang berdekatan iaitu Mbah Bonang dan Mbah Soleh.Kami sempat mengambil beberapa gambar kenangan di makam Sunan Ampel dan sekitarnya.Sedikit mengenai Sunan Ampel, diceritakan beliau adalah ketua dikalangan WaliSongo dan antara yang paling tua. Mereka ini kebanyakan mempunyai talian saudara sesama mereka. Sunan Ampel diberikan beberapa karamah dan kelebihan.

Sekitar jam 8.30pagi kami bergerak ke Pesantren Langitan. Pada jam 10.30 pagi, sempat kami singgah di Makam Sunan Giri yang terletak di puncak Bukit Giri. Bas mini tidak dibenarkan naik ke kaki bukit, jadi kami diberi peluang untuk menaiki kereta kuda. Satu kereta boleh dinaiki sehingga 4 orang dan bayarannya sebanyak 20ribu rupiah.Memang satu pengalaman yang menarik.Ada juga peserta yang merasai menaiki motor yang berharga 5ribu rupiah utk satu hala.

Di bawah ini ada sedikit gambar keadaan di sana. InsyaAllah akan disambung lagi coretan ini pada masa akan datang.

 
 
 Menaiki Kereta kuda untuk ke Sunan Giri


 Makam Mbah Soleh yang berhampiran Sunan Ampel. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar di makam Sunan Ampel

 Bazar di Makam Sunan Ampel


No comments:

Post a Comment