Friday, May 25, 2012

Lawatan sambil belajar ke SINGAPURA

Assalamualaikum wbr

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas nikmatnya yang masih berterusan untuk kita. Sekolah Menengah Tahfiz Teknologi 3i masih lagi beroperasi seperti biasa dengan bilangan pelajar setakat ini seramai 22 orang. Kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan dana untuk pengajian anak-anak di sekolah ini. Terdapat di kalangan mereka daripada keluarga susah dan kurang berkemampuan dan kami mengharapkan sumbangan daripada mana-mana pihak yang sudi untuk menyara pengajian mereka sepanjang mereka di sini.

Alhamdulillah, baru-baru ini pada 18 Mei 2012, pihak SMTT3i telah mengaturkan satu lawatan sambil belajar untuk 9 orang pelajar dan seorang anak salah seorang kakitangan ke Singapura. Bertolak daripada SMTT3i Cheras pada jam 12.30 pagi mereka diiringi oleh 3 orang kakitangan sekolah. Mereka berhenti untuk Qiamullail, bersiap dan solat subuh di sebuah surau di Bandar Johor Bahru sekitar jam 5.00 pagi. Setelah selesai solat subuh, mereka terus bergerak ke Woodland untuk menyeberangi Tambak Johor seterusnya ke Bandar Singapura. 

Setelah menempuhi kesesakan lalulintas kerana bertembung dengan masa orang awam keluar bekerja dari Johor ke Singapura dan dari Singapura ke Johor akhirnya mereka sampai ke destinasi pertama iaitu Masjid Sultan. Ia dikenali sebagai salah satu masjid tertua di Singapura. Mereka sampai di sana sekitar jam 9.00 pagi, setelah menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dhuha, mereka diberikan sarapan yang telah dibekalkan oleh kakitangan. 

Pada jam 10.00 pagi mereka dibawa keluar ke kedai cenderamata yang berhadapan dengan Masjid Sultan untuk membeli sedikit cenderamata untuk ahli keluarga. Sekitar jam 10.30 pagi mereka bertolak ke destinasi seterusnya iaitu Badan Agama Radin Mas (BAPA). Ketibaan mereka pada jam 10.45 pagi disambut dengan meriah oleh kakitangan BAPA. BAPA adalah sebuah NGO Islam di Singapura yang menjalankan Sekolah Agama, Tahfiz dan Pendidikan Agama untuk orang kurang upaya. Cadangan awal daripada SMTT3i adalah untuk melawat Sekolah Tahfiz BAPA, akan tetapi para pelajar mereka sedang menduduki peperiksaan, jadi cadangan tersebut terpaksa dibatalkan buat lawatan kali ini. InsyaAllah, ada peluang lawatan seterusnya akan diberikan ruang untuk melawat Tahfiz tersebut. 

Selepas sesi taaruf, mereka diberikan taklimat oleh wakil BAPA mengenai latarbelakang dan aktiviti BAPA. Selepas sesi taklimat, mereka bertukar-tukar pandangan dan sesi soal jawab untuk lebih mengenali antara satu sama lain. 

SMTT3i yang diwakili oleh Ustaz Abd Latiff bin Abdul Haliff telah memberikan sedikit penerangan tentang keadaan SMTT3i serta sistem pendidikan yang telah dijalankan. Alhamdulillah, banyak pandangan, idea dan ilmu yang mereka dapat hasil daripada sesi perkongsian tersebut. Mereka kemudiannya dihidangankan makan tengahari yang menarik, iaitu nasi beriyani ayam resipi original dari Singapura. Selain itu, mereka juga diberikan kuih karipap yang terkenal di Singapura. Layanan yang diberikan oleh kakitangan BAPA sangat baik. 

Selesai makan, mereka semua bergerak untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid yang terletak berhadapan dengan pejabat operasi BAPA. Selesai solat, mereka mengadakan sedikit sesi bergambar dan pertukaran cenderamata. Pihak SMTT3i mengalu-alukan sekiranya pihak BAPA berminat untuk melawat SMTT3i di Cheras, Kuala Lumpur. 

Sekitar jam 2.30 petang. Mereka bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Haji Muhammad Salleh dan Makam Habib Noh, antara masjid tertua juga di Singapura. Habib Noh adalah salah seorang ulama terkemuka di Singapura daripada Yaman. Setelah melakukan solat sunat tahiyatul masjid, mereka bergerak ke Esplaned dan Merlion Park untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. 

Sekitar jam 4.30 petang, mereka singgah solat asar di Masjid Annur di Woodland. Selesai urusan di Imegresan Singapura dan di Johor, mereka terus bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Sampai di SMTT3i sekitar jam 10.30 malam. Pihak SMTT3i mengharapkan para pelajar dapat mengambil pengajaran daripada perjalanan ini dan menambah ilmu serta pengalaman mereka. 

Di bawah ini ada disertakan sedikit gambar ketika melawat BAPA. 











No comments:

Post a Comment