Monday, May 23, 2011

Terima kasih semua

Assalamualaikum wbr
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi syukur kepada Allah Ar- Rafi' yang telah mengizinkan berjalannya Majlis Makan Amal Sekolah Menengah Tahfiz Teknologi 3i pada 21 Mei yang lepas. Sedikit ulasan mengenai hari kejadian. 

Bermula pada sekitar jam 8.00pagi, persiapan telah dibuat. Di bahagian dapur, tempat persembahan, bahagian jualan dan sebagainya. Pembahagian kerja telah diatur dengan baik hasil kerjasama semua ajk pelaksana. Alhamdulillah, para hadirin mula hadir di perkarangan Surau Al-Amin sekitar jam 10.30pagi dan menu utama iaitu nasi arab telah sampai pada sekitar jam 10 pagi. Mereka yang bertugas di bahagian pembahagian makanan telah menyusun menu yang telah disediakan. 

Pada hari tersebut terdapat 2 menu utama iaitu Kambing dan ayam. Para hadirin yang telah menempah awal untuk memilih lauk kambing diberikan menu yang diminta manakala jika mereka tidak menyatakan menu kambing, maka akan diberikan menu ayam. Alhamdulilah, tetamu datang tidak pernah putus sama ada yang telah menempah dan juga yang baru datang untuk membeli sambil menyumbang. Pihak urusetia terpaksa menempah lagi nasi arab tambahan sebanyak 60 bungkus kerana masih ramai yang berminat untuk membeli dan ada yang masih tidak dapat.

Semasa menempah sebelum hari kejadian, Pihak urusetia telah menempah sebanyak 400bungkus nasi arab. Nampaknya sambutan Majlis ini cukup meriah, terima kasih kepada tetamu yang hadir dan para urusetia yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis ini. 

Program di dalam surau bermula pada lebihkurang jam 11pagi dengan ucapan aluan pengerusi majlis seterusnya bacaan doa oleh seorang pelajar SMTT3i iaitu adik Mohd Aliff Saufy Abd Rahman dan diikuti bacaan Al-Quran dan terjemahan oleh 2 orang pelajar SMTT3i iaitu Mohd Asyraf Abd Rahman dan Mohd Aiman Hamidi. Kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi SMTT3i iaitu Tn.Haji Mohamed bin Saharudin dan seterusnya ucapan Mudir SMTT3i iaitu Ustaz Hj Azhar Bin Mohamed.

Majlis diceriakan dengan persembahan dari para pelajar iaitu bacaan sajak oleh adik Mohd Aiman Hamidi kemudian persembahan Coral Speaking oleh 6 orang pelajar yang bertajuk 'Friendship'. Kemudian diteruskan dengan persembahan nasyid yang diiringi oleh paluan kompang dari para pelajar. Nasyid yang bertajuk Selawat Nabi dan InsyaAllah. Selepas tamat semua persembahan, para tetamu di alu-alukan untuk menjamu selera.

Cara makan dalam dulang adalah sangat menarik kerana ia boleh mengeratkan ukhwah sesama keluarga dan sahabat handai. Kelihatan para tetamu yang hadir gembira kerana terdapat di kalangan mereka kali pertama makan bersama di dalam dulang. 

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun pihak urusetia perlu menempah lagi nasi arab walaupun sudah lewat. Namun ia memberikan satu kepuasan kepada semua urusetia kerana sambutan yang diberikan oleh para tetamu. Semoga Allah mengizinkan kami melaksanakannya lagi pada masa akan datang. Semoga usaha ini dikira sebagai satu amal jariah di sisi Allah. 

Akhir kata, mohon maaf andai terdapat kesilapan ketika majlis berjalan. Terima kasih atas kerjasama semua.

No comments:

Post a Comment